Skip to main content

Kebaikan cendawan terhadap kesihatan manusia

           
      KEBAIKAN MAKAN CENDAWAN 

             Cendawan ialah organisma yang unik dan tidak tergolong dalam alam haiwan atau alam tumbuhan. Cendawan sebenarnya membina kumpulannya sendiri yang dikenali sebagai alam kulat yang tidak berupaya menghasilkan makanan sendiri disebabkan kekurangan klorofil. Di kebanyakan negara cendawan ditanam sebagai sumber makanan penduduk kerana mengandungi nilai gizi atau zat makanan yang tinggi. Spesies cendawan seperti tiram kelabu, tiram putih dan tiram raja adalah spesies yang popular dalam kalangan penggemar cendawan.

                ( Cendawan tiram putih)

             Dalam perubatan tradisional, 
cendawan digunakan secara meluas untuk mengubati pelbagai jenis jangkitan bakteria. Cendawan juga dikatakan dapat menghentikan masalah pendarahan. Selain itu, seseorang yang mempunyai tekanan Sarah tinggi digalakkan supaya mengambil ekstrak cendawan yang diproses kerana dipercayai mampu menjadi penawar untuk mengurangkan tekanan darah tinggi. Namun, tidak semua cendawan selamat dimakan oleh manusia. Hal ini dikatakan demikian kerana terdapat juga cendawan yang beracun dan dapat memudaratkan kesihatan kerana mengandungi kadar toksik yang tinggi. Seseorang yang termakan cendawan yang beracun ini akan terdedah kepada masalah kerosakan hati. Selain itu, pengambilan cendawan yang beracun juga akan memusnahkan sintesis protein dalam tubuh badan manusia.

                (Cendawan tiram raja)

              Kajian menunjukkan bahawa cendawan merupakan sumber yang kaya dengan antibiotik untuk melawan bakteria yang menjadi punca penyakit. Di samping itu, cendawan juga dapat meningkatkan sistem imunisasi dalam tubuh manusia. Satu penemuan penting tentang keistimewaan cendawan ialah kemampuannya dalam merawat penyakit kanser. Kajian juga menunjukkan bahawa cendawan mengandungi bahan aktif yang dikenali polisakarida yang menjadi penawar kepada penyakit kanser. Mereka yang mempunyai kadar kolesterol yang tinggi disarankan supaya menjadikan cendawan sebagai makanan harian kerana mampu mengurangkan kadar kolesterol dalam tubuh manusia, cendawan juga berfungsi sebagai penggubah utama bahan organik kepada bentuk baja. Cendawan berperanan sebagai salah satu elemen utama kitar semula hutan.

Comments